Perlu cemerlang jika ingin layak ke fakulti perubatan

Perlu cemerlang jika ingin layak ke fakulti perubatan

NIZAM ISMAIL

nizam@sph.com.sg

SETIAP tahun terdapat antara 2,000 hingga 3,000 pelajar lepasan peringkat GCE ‘A’ yang layak daripada segi akademik bagi memasuki bidang perubatan. Daripada jumlah itu, hanya sekitar 200 hingga 250 pelajar yang diterima memasuki fakulti perubatan di universiti tempatan.

Hanya pelajar ‘unik’ dan ‘berkarisma’ yang melampaui kecemerlangan akademik akan diterima memasuki fakulti perubatan – tidak kira apa latar belakangnya. Ini termasuklah pelajar Melayu Islam yang turut melayakkan diri ke fakulti tersebut setiap tahun. Pakar jantung di Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, ialah antara mantan panel yang menjalankan sesi temu duga bagi pelajar yang ingin memasuki Sekolah Perubatan Lee Kong Chian di Universiti Nasional Singapura (NUS) empat tahun lalu.

Beliau menjadi panel temu duga bagi memilih para pelajar tersebut selama tiga atau empat tahun sebelum ini. “Sememangnya, persaingan mendapat tempat di fakulti perubatan ini amat sengit. Kesemua pelajar yang layak sememangnya telah mempunyai kelayakan akademik yang sama cemerlang. Sijil yang mereka ada tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Mereka juga mempunyai surat rekomendasi daripada guru dan sebagainya sebagai sokongan mendapatkan tempat di fakulti perubatan. “Pada akhirnya, hanya pelajar yang mempamerkan kelebihan semasa temuduga akan dinilai sama ada mereka layak atau sebaliknya. Ia melebihi gred yang dimiliki pelajar,’’ ujar Dr Razakjr.

Para pelajar disaring semasa ditemuduga hanya mempunyai sekitar 10 minit bagi dinilai. “Dalam masa inilah kami penemu duga menilai pelajar. Inilah juga peluang pelajar mengetengahkan pandangan dan menampilkan yang terbaik daripada minda mereka,’’ ujar Dr Razakjr.

Dr Razakjr percaya ada pelajar yang membuat pembentangan yang berkesan setelah dilatih menghadapi sesi interviu. Kemahiran berkomunikasi ini dapat dipelajari dan boleh diperbaiki melalui latihan yang tidak putus-putus.

Dr Razakjr juga turut membariskan beberapa faktor yang membolehkan seseorang pelajar itu dinilai kebolehan mereka. Ini seperti pelajar yang telah melalui program mentor di hospital dengan menimba pengalaman dengan para doktor.

“Sebagai contoh, saya ada menjalankan program mentor dan menjadi pembimbing dengan pelajar yang benar-benar berminat mengambil bidang perubatan. Mereka yang menjalani program mentor dengan doktor dilihat lebih berupaya dalam sesi temu duga kerana mereka mempunyai pengalaman bersama para doktor sebelum ini,” ujarnya.

Menurut Dr Razakjr, beliau sendiri banyak membimbing para pelajar Melayu, termasuk daripada madrasah setempat yang berminat menjadi doktor.

Malah, Dr Razakjr berkata beliau sentiasa membuka pintu kepada pelajar Melayu yang berminat dalam bidang perubatan bagi menjadi pembimbing. Kedua, Dr Razakjr menggariskan bahawa rasa empati pelajar terhadap pesakit juga memainkan peranan dalam temu duga.

Empati bermakna pelajar ini mempunyai daya menyelami dan memahami perasaan atau emosi pesakit dan mereka di sekelilingnya. Keupayaan empati mereka bukan terhad kepada menjaga pesakit semata-mata, malah pelajar mampu meluahkan pandangan bahawa peranannya melebihi sebagai doktor yang merawat tetapi dilanjutkan kepada keluarga pesakit dan masyarakat.

Menurut Dr Razakjr lagi, minat mendalam dan dedikasi mendepani cabaran dalam pengajian perubatan, kesanggupan mengorbankan masa merupakan antara ujian yang seringkali menguji jati diri seorang pelajar perubatan semasa sesi temuduga.

Kebanyakan pelajar boleh mendapatkan ijazah perubatan dengan usaha keras tetapi hanya minat yang mendalam mampu menjadikan mereka seorang doktor yang baik. “Menjadi seorang doktor memerlukan banyak kerja keras, dedikasi serta waktu yang panjang dan tertekan. Ia mungkin salah satu kerjaya yang menarik diceburi,” ujar Dr Razakjr.

Menurutnya, kebanyakan pelajar gagal dalam sesi temuduga kerana kurang keyakinan diri dan gagal berkomunikasi dengan baik. Pada akhirnya bagaimana pelajar itu menarik perhatian disebabkan penampilannya, personanya ataupun pengetahuannya yang disertai dengan isi kandungan semasa interviu yang membuatkan beliau lebih menonjol. “Seorang yang matang, berkeyakinan tinggi dan berpengetahuan luas perihal subjek yang dibentangkan.

Kebolehan berkomunikasi dengan baik penting bagi kemajuan mereka. Dengan pengetahuan ini, saya menasihatkan bakal pelajar supaya mula mempertingkatkan kemahiran komunikasi,’’ ujar Dr Razakjr lagi.