MOH awasi Ebola Virus bawa maut
Virus bawa maut
“Paling membimbangkan, pengidap virus ini tidak menunjukkan sebarang tanda jelas, kecuali serupa menghadapi demam flu. Ini menunjukkan jangkitan virus ini sukar dikesan. Apabila seseorang itu disahkan mengidapi virus Ebola, ia sudah terlewat.” – Dr Abdul Razakjr Omar, pakar jantung di Hospital Raffles.
PENULARAN virus Ebola adalah sesuatu yang sangat berbahaya, dengan pesakit yang menghidapi virus itu menghadapi risiko kematian.
Ini kerana kadar kematian wabak itu ketika ini mencecah 60 peratus, walaupun virus Ebola sebenarnya boleh meragut hingga 90 peratus nyawa yang menghidapinya.
“Paling membimbangkan, penghidap virus ini tidak menunjukkan sebarang tanda jelas, kecuali serupa menghadapi demam flu. Ini menunjukkan jangkitan virus ini sukar dikesan.”
Demikian dijelaskan kepada Berita Harian oleh pakar jantung di Hospital Raffles, Dr Abdul Razakjr Omar, semalam.
Tambahnya, lagi apabila seseorang pesakit disyaki menghidapi virus Ebola, pesakit berkenaan perlu diasingkan, yakni dikuarantin sehingga sebulan lamanya.
“Apabila seseorang itu disahkan menghidapi virus Ebola, ia sudah terlewat,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, penularan virus Ebola lebih berbahaya berbanding Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) yang menular daripada binatang ke manusia.
“Virus Mers menular daripada binatang, seperti unta, ke manusia tetapi ia tidak begitu mudah berjangkit. Ebola amat mudah berjangkit,” kata Dr Abdul Razak lagi.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kematian akibat penularan virus Ebola di Afrika Selatan meragut 932 nyawa.
Perangkaan terbaru ini dicatatkan sedang Nigeria mengesahkan kematian seorang jururawat akibat Ebola.
Arab Saudi pula mengumumkan satu kematian yang mempunyai tanda-tanda dijangkiti virus Ebola.
Penularan Ebola mula dikesan Mac lalu di Guinea dan ia tidak menunjukkan tanda akan reda.
Kebanyakan kematian baru dicatatkan berlaku di Liberia dan Sierra Leone.
Catatan WHO sehingga 4 Ogos lalu menunjukkan, sejumlah 363 kematian berlaku di Guinea dan 282 pula di Liberia, sementara 286 lagi di Sierra Leone.
WHO menyifatkan penyakit virus Ebola merupakan salah satu penyakit paling getir di dunia.
“Jangkitan boleh berlaku secara hubungan langsung menerusi darah, cecair badan dan tisu daripada binatang atau orang yang menjangkitinya.
“Pesakit yang mengalami sakit teruk memerlukan sokongan penjagaan rapi. Semasa berlaku penularan, mereka yang menghadapi risiko besar dijangkiti virus ini adalah pekerja kesihatan, anggota keluarga dan orang lain yang berhubung dekat dengan pesakit dan pesakit yang meninggal dunia,” menurut pertubuhan itu di laman rasminya.
Tambah WHO lagi, penyakit virus Ebola ini boleh meranapkan keluarga dan masyarakat tetapi jangkitannya boleh dikawal menerusi pelaksanaan langkah-langkah perlindungan di klinik dan hospital, di tempat di mana masyarakat berkumpul dan di rumah.
Dr Abdul Razakjr menekankan bahawa soal penularan virus Ebola adalah serius memandangkan Singapura merupakan sebuah negara yang bersifat terbuka.
“Singapura mengamalkan dasar ekonomi terbuka, orang dari dalam dan dari mana-mana pelosok dunia keluar masuk negara ini tanpa henti.
“Apatah lagi, penerbangan dari Afrika ke Singapura mengambil masa kurang sehari. Oleh itu, kawalan di sempadan negara perlu diperketatkan bagi kemasukan orang dari benua itu ke negara ini.
“Tetapi Singapura saya yakin telah membuat persiapan rapi hasil pengalaman lalu semasa menghadapi penularan virus Sindrom Sesak Nafas Mendadak (Sars). Apapun, paling penting adalah untuk rakyat dan pekerja kesihatan meningkatkan kewaspadaan,” katanya.